THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, February 16, 2008

Kisah Saidina Umar ra. yang paling menyayat hati

Berikut ialah sebuah kisah yang menyayat hati yang
menimpa keluarga Khalifah Saidina Umar ra. yang
dipetik daripada laman web Jabatan Mufti Negara Brunei
Darus Salam. Semoga ianya dapat menginsafkan kita
semua.

http://www.brunet. bn/gov/mufti/ alhadaf/sept98/ h_hukum.htm

KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH

Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan
ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah.
Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan
dan hormat kepadanya.

Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak
laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar.
Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.

Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu
penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun.
Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit
tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan
tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu
Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu
menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah
perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang
juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan
kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan
Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.

Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi
pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang
perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu
mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila
perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk
melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan
mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak
berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah
dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.

Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah
sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu
pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi
mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya.
Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu
itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.

"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana
engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk
memeliharanya daripada aku."

Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa
terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak
damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang
bernama Abu Syahamah."

Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau
haram?"

Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul
Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya,
daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak
Abu Syahamah, anak ini haram."

Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham
maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh
perempuan ini berterus terang.

Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar
peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan
anak itu.

Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu
sehingga menitiskan air mata.

Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan
jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi
orang Arab), ceritakanlah perkara yang sebenarnya
supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan
sebenar-benarnya dan seadil-adilnya."

Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin,
penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi
Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku
sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."

Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan
perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah
al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas
lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini
adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah."

Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi
Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau
berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian
sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di
sini sehingga aku kembali."

Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil
membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan
malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak
tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan
halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini
dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu
berhadapan dengan Allah nanti." Perempuan itu pun
mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina
Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.


Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata
kepada sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat
Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku
kembali."

Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu
Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan
makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata:
"Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita
makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir
bekalanmu untuk kehidupan dunia."

Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut
seraya berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang
memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku
untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus
setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam."

Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah
sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat
dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas
Penglihatannya." Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih
ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu
majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah
memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk?
Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi
perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan
seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah
anakku, kalau tidak engkau akan binasa."

Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan
perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan
beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan
hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku
itu."

Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal
setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau
adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang
berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi
engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah
lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian
lama menunggu.

"Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah.

"Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia
supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat
kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.

Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku,
aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu
di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu
dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik
ayahmu."

Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun
bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul
Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku,
sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri
dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah
perempuan yang menyampaikan khabar tadi."

Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya
(hambanya): "Wahai Muflih, pukullah anakku Abu
Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit,
jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan
kerana Allah."

Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana
khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada
Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila
diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul
Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu
Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya
seperti api yang menyala pada jasadku."

Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini
terasa lebih panas dari jasadmu."

Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul
sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah:
"Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat
mengambil sedikit kesenangan."

Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat
menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan
kepadamu kesenangan."

Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu
Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah
merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan
nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat
bertaubat."

Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku,
apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau
hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau
hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan
engkau akan dipukul seumpama ini lagi."

Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu
Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.

Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan
nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum
seteguk air."

Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai
anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air
untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air
minum."

Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta
Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu
Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku,
dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku."


Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai
anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka
engkau tidak akan dikasihani di akhirat."

Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih
memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu
Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai
ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan
aku begini sebelum aku mati?"

Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan
hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika
engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti."

Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi
sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu
Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti
sudah sampai ajalku....."

Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai
anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan
bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."

Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus
menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali
rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang
semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para
hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa
kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan
aku saja?"

Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri
Sayyidina Umar dan berkatas: "Wahai Amirul Mukminin,
hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah
dia."

Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian
sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat
Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya:
"Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada keduanya
dalam menjalankan hukum Allah."

Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat
Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu
Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh
sebatan lagi.

Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan
mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat
sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi
sehingga hari kiamat.

Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih,
pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih
pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.

"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah
Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak
lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan:
"Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu
Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar
pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid
sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka
sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat
peristiwa tersebut.

Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin
al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat
berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan
oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar
Radhiallah 'Anhu.

Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada
malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi
bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam
yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian
putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda
dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata: "Wahai anak bapa
saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu
kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap
kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah
dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah
menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa
bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu
Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang
benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.

Jika HATI Sejernih AIR

Jika HATI Sejernih AIR
Jangan Biar Ia KERUH
Jika HATI Seputih Awan
Jangan Biar Ia MENDUNG
Jika Hati Seindah BULAN
Hiasilah Ia Dengan IMAN

Biar Renggang Di Fana Dunia
Biar Hina Di Mata Manusia
Biar Usia Semakin Tua
Jangan Tergadai Silaturrahim
Salam Sejahtera Pada Pertemuan
Di Sek Ren Ugama Al Hilal, KB

Monday, February 11, 2008

Surat Khabar

aku tak tahu la kenapa orang kat sini teruk sangat. aku baca dalam surat khabar, nak cari suami untuk anak pun sampai masuk dalam surat khabar. semua mak bapak nak cepat lepaskan tanggungjawab terhadap anak masing-masing.

Wednesday, February 6, 2008

Al Barakah International School

Dah seminggu aku bersekolah di sekolah ni. Aku belajar di gred 6. Kelas aku sangat bising, terutama sekali kalau guru tiada di dalam kelas. Kawan-kawan aku ramai dari Pakistan.Kawan-kawan aku ada yang muslim dan ada juga kristian. Warna baju uniform sama dengan warna kulit gajah tua. Tempat bermain bola pun sebesar gelanggang basketball. Cikgu pun teruk sampai panggil pelajar stupid boy.
Satu hari, kawan aku kata kat aku,"This teacher is very bad. She teachs to listen to music, not to the Quran," aku tergelak dengar dia cakap macam tu kat aku. Mula-mula di sekolah memang susah, aku kena salin balik semua pelajaran mula dari bulan Disember 2007. Kat sini aku kena belajar French.

Pengorbanan Suci

Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tamannya.
Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah rumah berhampiran.
Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh. Peristiwa itu diketahui orang ramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5:00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.
Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai. Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman mati.
Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah. Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula untuk pancung sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.
Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara. Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan. Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.
Di saat terakhir, orangramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orangramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang. Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya. Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah.

Friday, February 1, 2008

Riya'.... Membinasakan Ibadah

Pada suatu waktu sahur, seorang abid membaca Al-Quran, surah "Thoha", di biliknya yang berhampiran dengan jalanraya. Selesai membaca, dia berasa amat mengantuk, lalu tertidur. Dalam tidurnya itu dia bermimpi melihat seorang lelaki turun dari langit membawa senaskhah Al-Quran.
Lelaki itu datang menemuinya dan segera membuka kitab suci itu di depannya. Didedahkannya surah "Thoha" dan dibeleknya halaman demi halaman untuk tatapan si abid. Si abid melihat setiap kalimah surah itu dicatatkan sepuluh kebajikan sebagai pahala bacaannya kecuali satu kalimah sahaja yang catatannya dipadamkan.
Lalu katanya, "Demi Allah, sesungguhnya telahku baca seluruh surah ini tanpa meninggalkan satu kalimah pun". "Tetapi kenapakah catatan pahala untuk kalimah ini dipadamkan?" Lelaki itu berkata.
"Benarlah seperti katamu itu. Engkau memang tidak meninggalkan kalimah itu dalam bacaanmu tadi. Malah, untuk kalimah itu telah kami catatkan pahalanya, tetapi tiba-tiba kami terdengar suara yang menyeru dari arah 'Arasy : 'Padamkan catatan itu dan gugurkan pahala untuk kalimah itu'. Maka sebab itulah kami segera memadamkannya".
Si abid menangis dalam mimpinya itu dan berkata, "Kenapakah tindakan itu dilakukan?".
"Puncanya engkau sendiri. Ketika membaca surah itu tadi, seorang hamba Allah melewati jalan di depan rumah mu. Engkau sedar hal itu, lalu engkau meninggikan suara bacaanmu supaya didengar oleh hamba Allah itu.
Kalimah yang tiada catatan pahala itulah yang telah engkau baca dengan suara tinggi itu".
Si abid terjaga dari tidurnya. "Astaghfirullaahal-'Azhim! Sungguh licin virus riya' menyusup masuk ke dalam kalbu ku dan sungguh besar kecelakaannya. Dalam sekelip mata sahaja ibadahku dimusnahkannya.
Benarlah kata alim ulama', serangan penyakit riya' atau ujub, boleh membinasakan amal ibadat seseorang hamba Allah selama tujuh puluh tahun".