THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, April 17, 2008

Bagaimana mengurus kesunyian

AMIR Hamzah, seorang penyair terkenal, menyebutkan sunyi dalam rangkap bait puisinya, “Sunyi itu duka, sunyi itu kudus. Sunyi itu luka, sunyi itu lampus.” Dalam bahasa yang mudah kesunyian adalah suatu keadaan yang menyebabkan jiwa dan hati rasa terasing. Ia boleh menyebabkan manusia digigit resah dan dipaut pasrah. Daripadanya kedukaan menghimpit.

Sunyi itu juga boleh membawa keadaan yang tenang. Ketenangan boleh menyebabkan manusia melihat ke dalam diri dan mencari kekuatan. Bagi ahli ibadah, bangun tengah malam dalam suasana sunyi mendekatkan dirinya dengan Allah s.w.t.. Lahir kekudusan yang amat dalam dan manusia berasa jiwa kehambaan yang amat tinggi.

Sunyi juga boleh mengheret insan berasa tertekan. Dirinya semacam rasa tidak dikasihi dan mengasihi. Terasa yang amat sangat dirinya seolah-olah ditinggalkan dan hidup dalam keterasingan. Keadaan tertekan menyebabkan hati jadi luka. Dan dalam kelukaan yang parah hati kehilangan rasa dan akhirnya menjadi rosak ataupun lampus. Ia merasakan semalam yang berlalu penuh dengan kesunyian dan apabila besok menjelang kesunyian menjadi teman hidupnya.

Mengurus kesunyian bukanlah suatu hal yang mudah. Remaja yang hatinya ceria amat suka berkawan. Kawanlah menjadi tempat berbual, berbincang, mengadu dan meminta nasihat. Tanpa kawan, remaja akan sunyi. Kesunyian adalah sesuatu yang amat mencengkam. Kesunyian tidak hanya berlaku kepada remaja.

Ia berlaku kepada semua peringkat kehidupan manusia. Seorang lelaki yang kematian isteri yang disayang akan berasa sunyi yang amat sangat apabila ketiadaan isteri di sisinya lagi. Seorang anak yang kehilangan ibu dan ayah juga merasakan kesunyian yang luar biasa.

Seorang tua yang berumur dan tinggal seorang diri merasakan perjalanan hidup yang sunyi dan menggigit. Kawan berbual tidak ada. Masalah diri ditanggung sendiri. Simpati yang diharap tak kunjung datang. Akhirnya menangisi nasib dalam duka yang berpanjangan.

Cabaran dan godaan juga sering datang pada waktu sunyi. Manusia mempunyai nafsu dan naluri. Kesunyian yang tidak terpandu boleh menyebabkan manusia

melayani bisikan syaitan dan iblis. Mengisi kesunyian sewaktu menerima bisikan syaitan dan iblis boleh mendorong seseorang melakukan maksiat dan kemungkaran. Seseorang boleh lupa kepada diri, lupa kepada agama dan lupa kepada Allah s.w.t. kerana kesunyian menjadikannya membuat pilihan yang salah.

Mengurus kesunyian memerlukan pedoman. Bagi remaja, naluri berkawan adalah dorongan yang utama dalam hidup. Remaja memerlukan kawan untuk berbual, bertukar-tukar pandangan, memohon nasihat, berkongsi perasaan dan masalah. Remaja memerlukan kawan supaya tidak berasa sunyi. Ada ketikanya kawan yang didampingi adalah kawan yang baik dan ada ketika bertemu dengan kawan yang sebaliknya.

Banyak kajian menunjukkan bahawa pengaruh kawan atau rakan sebaya menjadi faktor utama dalam memahami tingkah laku dan gelagat remaja hari ini. Kecenderungan remaja terlibat dalam amalan merokok dan salah guna dadah, umpamanya, antara lain ialah faktor pengaruh kawan di samping keinginan mencuba. Pengaruh rakan sebaya besar kesannya mempengaruhi hidup seorang remaja.

Sahabat

Dalam memilih kawan, remaja harus memilih kawan yang baik. Kawan yang baik tidak sahaja menjadi teman mengatasi kesunyian tetapi menjadi sahabat pada waktu susah dan senang. Kawan yang baik menjadi tempat berbual perkara-perkara yang berfaedah, memberi dan menerima nasihat yang berguna serta menjalankan kegiatan bersama yang boleh memberi manfaat. Kawan yang baik adalah kawan yang tahu batas benar dan salah dan sekiranya remaja terlanjur atau terlajak, ia akan menasihatinya.

Remaja yang menjalani rutin hidup jangan dibelenggu oleh suasana kesunyian. Ada ketikanya remaja perlukan kesunyian untuk mencari kekuatan dan menumpukan perhatian kepada sesuatu. Menelaah dan mengulangkaji bahan-bahan pelajaran tentunya memerlukan suasana yang tidak bising dan mengganggu.
Ada ketikanya remaja memang suka mengurung diri dalam bilik dan tidak ingin diganggu. Tetapi suasana sunyi akan bertukar menjadi beban dalam hidup apabila remaja mula berasa sunyi. Sunyi adalah membosankan dan sunyi perlu diisi dengan kegiatan-kegiatan yang terlarang.

Bagi remaja yang dirundung suasana sunyi, perasaan menjadi sunyi dan hati juga menjadi sunyi. Jiwa terasing mula dirasakan. Remaja tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Akhirnya apa yang tergerak itulah yang dilakukan. Kadang-kadang yang dilakukan adalah sesuatu yang salah dan tidak bermanfaat.
Merokok dianggap sebagai teman mengisi kesunyian. Menonton bahan-bahan lucah boleh mengisi cita rasa mengatasi kesunyian. Akhirnya amalan sebegini menimbulkan ketagihan dan remaja ingin terus melakukannya lagi tanpa pengetahuan orang lain.

Bila kesunyian boleh mendorong remaja melakukan kegiatan negatif, remaja harus bijak mengurus saat-saat sebegitu. Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah berhubung dengan kawan-kawan yang baik dan boleh dipercayai supaya perbualan dapat berlaku, pertemuan dapat berjalan dan pertukaran pendapat mengambil tempat.
Adanya teknologi canggih seperti komputer boleh digunakan untuk melakukan chit-chatting yang berfaedah, melayari Internet dan laman web yang memberi maklumat dan ilmu yang berguna. Seterusnya remaja harus memiliki hobi seperti membaca, bermain dan bersukan bila melalui masa-masa lapang dan tidak membiarkan kesunyian membelenggu hingga menyebabkan remaja menjadi resah dan kehilangan arah.

Komunikasi dengan ibu bapa, adik-beradik adalah langkah terbaik bagaimana kehidupan di rumah berlaku dengan riang dan ceria. Sekiranya komunikasi dalam keluarga dapat berlaku secara baik, ia secara jangka panjang akan mengukuhkan hubungan kekeluargaan, ada perasaan ambil tahu dan saling berkongsi di kalangan anggota keluarga dan menyebabkan hubungan sekeluarga menjadi rapat dan erat.
Apa sahaja masalah yang dilalui oleh remaja boleh ditanya dan dikongsikan dengan ibu bapa. Ibu bapa adalah lambang contoh yang mendidik para remaja dan ibu bapa adalah tempat mengadu daripada masalah dan penyelesai kepada kebuntuan yang dihadapi. Ibu bapa adalah orang yang selalunya bersifat jujur dan sayang kepada anak-anaknya. Sifat ini harus dimanfaatkan oleh remaja supaya masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan bijaksana.

Remaja Islam yang baik boleh mengurus kesunyian dengan baik juga. Masa terluang akan diisi dengan kegiatan yang memberi faedah. Ada ketikanya remaja Islam perlukan orang lain sebagai teman berbicara. Ada ketikanya remaja Islam perlukan suasana yang sunyi dan tenang untuk melakukan komunikasi dengan Pencipta.
Solat merupakan jalan terbaik bagaimana komunikasi dengan Allah s.w.t. dapat berlaku. Remaja akan melakukan rukuk dan sujud untuk membina jiwa kehambaan yang tinggi. Daripada jiwa kehambaan yang tinggi menerusi amalan membentuk hati, iman dan takwa menyebabkan remaja takut melakukan perlanggaran dalam syariat Allah.

Remaja akan berasa insaf apa saja yang dilakukan dalam hidup tidak akan terlepas daripada pemerhatian Allah. Remaja akan merasakan bahawa hidup yang berkat adalah di bawah keredaan Allah.

Remaja yang bertakwa adalah remaja yang sering merasakan bahawa dalam melakukan apa-apa terutama pada waktu sunyi, remaja akan sentiasa conscious ataupun ingat bahawa Allah ada di mana-mana. Sesetengah remaja apabila tidak berada di depan ibu bapa atau orang yang diseganinya akan melakukan sesuatu di luar batasan terutama pada waktu dalam kesunyian.

Jangan biarkan kesunyian membelenggu hingga sunyi menggigit hati dan mencengkam rasa dan menyebabkan jalan keluarnya ialah melakukan perlanggaran yang membawa akibat buruk kepada diri remaja. Jadilah remaja yang sentiasa ingat kepada Allah, tahu batasan dan larangan-Nya dan sentiasa patuh dengan ajaran-Nya.
Isilah masa dengan kegiatan yang berfaedah, tingkatkan ilmu dan pengetahuan supaya remaja merasakan sunyi adalah teman, sunyi adalah ruang mencari kekuatan dan sunyi menjadikan remaja orang-orang sentiasa berfikir mengenai kebaikan dan dapat menghindarkan diri daripada terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang terlarang.

Oleh DR. SIDEK BABA

- PROFESOR DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utusan malaysia

1 komen:

Heal me said...

assalamualaikum...

ustaz aku pernah berkata,kesunyian hanya lah utk org kafir..org islam tidak akan merasa sunyi dari apa2 perkara sekalipun..sentiasa ditemani Allah S.W.T..